K-Pop dan Zumba, hiburan dan senaman yang lagha - Ismail Mina

Wan Syamsul Amly
Januari 19, 2015 14:35 MYT
ISMAIL: K-Pop dan Zumba, hiburan dan senaman yang lagha - Gambar fail
Masyarakat Islam negara ini diminta untuk mengelakkan terjebak dengan hiburan K-Pop dan senaman Zumba yang disifatkan berbentuk lagha (sia-sia) semata-mata.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, kerajaan juga seharusnya sudah lama menyekat kedua-dua unsur ini daripada menyerap ke dalam gaya hidup rakyat negara daripada terus mempromosikannya.
"K-Pop itu lagha, sama juga dengan Zumba. Tengok akibatnya semasa konsert baru-baru ini, berdakap, bercium seolah-olah tidak ada lagi pegangan agama.
"Mana undang-undang yang menyekat perkara sebegini daripada terus berleluasa? Jika dibiarkan moral anak-anak gadis kita akan terus hanyut dengan perkara yang sia-sia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail mengulas perbuatan anggota kumpulan K-Pop, B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas KL Live pada minggu lepas.
Video berciuman yang berdurasi lebih tiga minit itu turut dimuat naik di laman Facebook Sukan Star TV selain menjadi viral di media sosial.
Bagaimanapun, perlakuan itu turut disifatkan berlaku di luar jangkaan penganjur.
Lagha merupakan bahasa Arab yang bermaksud perbuatan yang batil, termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik dan maksiat selain segala perbuatan yang tidak berfaedah sama ada dalam bentuk perbuatan atau perkataan.
Sebelum ini, Ismail dilaporkan menyifatkan Zumba menjadi faktor utama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar gagal menjadi seorang pejuang Islam sejati.
Tegasnya, promosi berlebihan terhadap tarian sukan itu disifatkan sebenarnya mendukacitakan banyak organisasi Islam negara.
Dalam pada itu kata Ismail, masyarakat dan pemimpin juga harus bekerjasama dan memastikan isu berkenaan tidak lagi berulang.
"Akhlak perlu dipulihkan daripada pemimpin sehingga masyarakat.
"Seandainya pemimpin gagal, ia kelak pasti memberi kesan kepada seluruh sistem kemasyarakatan itu sendiri," ujarnya.
Isu K-Pop turut mendapat perhatian seorang 'gadis misteri' yang memberitahu kehadiran remaja bertudung yang terlibat dalam video kontroversi konsert K-Pop B1A4 sebelum ini adalah dengan keizinan tuhan.
#B1A4 #hiburan #K-pop #KHAIRY #lagha #Muafakat #zumba
;