K-KOMM cadang ambil alih urus royalti, kebajikan penyanyi - Zahidi
Astro Awani
Mac 21, 2022 17:29 MYT
Mac 21, 2022 17:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sedang mengadakan perbincangan dalam usaha mengambil alih aspek pengurusan royalti dan kebajikan artis nyanyian daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ketika ini K-KOMM hanya bertanggungjawab menguruskan kebajikan bagi individu yang terbabit dalam industri perfileman dan drama.
Katanya, ia susulan pertelingkahan dalam kalangan persatuan membabitkan artis nyanyian mengenai isu royalti sebelum ini, K-KOMM berhasrat mengambil alih pengurusan berkaitan isu itu bagi memastikan kebajikan semua anak seni terbela.
"Sekarang K-KOMM hanya uruskan artis yang bukan penyanyi, kerana penyanyi diuruskan oleh KPDNHEP, sama ada membabitkan royalti dan sebagainya.
"Tetapi, dari segi isu kebajikan mereka agak bermasalah kerana persatuan (penyanyi) ini bertelagah dan wang hasil kutipan royalti untuk kebajikan penyanyi menjadi masalah.
"Kita sedang berbincang dalam Pasukan Petugas Industri Kreatif untuk membawa mereka (pengurusan membabitkan artis nyanyian) ke K-KOMM," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang bertanyakan usaha dan insentif kementerian untuk membantu pelakon dan artis menabung menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mengulas lanjut, Zahidi berkata pasukan petugas yang ditubuhkan kementerian turut membabitkan wakil industri dan persatuan seperti Persatuan Pengeluar Filem (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan lain-lain.