K-KOMM cadang aktiviti perlombongan kripto, NFT dibenarkan di sisi undang-undang
Bernama
Mac 21, 2022 12:44 MYT
Mac 21, 2022 12:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mencadangkan supaya aktiviti perlombongan kripto dan token 'non-fungible' (NFT) dibenarkan di sisi undang-undang untuk membantu generasi muda yang terlibat secara aktif dalam ruang ini, terutama dalam platform perdagangan NFT.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pihaknya akan meneliti cara untuk meningkatkan penglibatan golongan muda dalam aset digital.
"Semua ini di bawah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Bagaimanapun, kita di pihak kementerian ingin daftarkan, sebab ini adalah perniagaan dan program kewangan masa depan, terutama buat anak muda sekarang.
"Kita harap kerajaan dapat dan cuba 'legalise' (membenarkan di sisi undang-undang) perkara ini supaya penyertaan anak muda dalam mata wang kripto dapat kita kembangkan dan bantu mereka dari segi penggunaan tenaga dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH) mengenai pendirian kerajaan dan K-KOMM berkaitan perdagangan dalam platform NFT yang semakin menjadi perhatian di Malaysia, terutama bagi kalangan anak muda.
-- BERNAMA