K'jaan pertingkat kesalinghubungan di bandar, luar bandar - Ahmad Husni

Bernama
Oktober 15, 2015 23:35 MYT
AHMAD HUSNI: Kerajaan sedang memperkukuh kedudukan fiskal negara dan menaik taraf sistem penyampaiannya. - Foto BERNAMA
Kerajaan sedang mempertingkat kesalinghubungan negara di kawasan bandar dan luar bandar sebagai sebahagian persediaan untuk masa depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata kerajaan sedang memperkukuh kedudukan fiskal negara dan menaik taraf sistem penyampaiannya.
"Kami juga menegakkan falsafah berdasarkan nilai-nilai tanggungjawab, integriti dan kebertanggungjawaban.
"Semua usaha ini bertujuan membangunkan ekosistem yang perlu, untuk rakyat Malaysia menikmati kualiti hidup lebih baik - kualiti yang akan memanjangkan jangka hayat kita, kehidupan lebih bahagia dan lebih produktif," katanya ketika melancarkan identiti jenama dan logo baharu Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini hari ini.
Ahmad Husni berkata kerajaan mengakui dunia kini bergerak pada kadar lebih pantas.
"Kini kita berdepan dengan gelombang perubahan yang besar baik dalam teknologi, sosial mahupun ekonomi. Perubahan ini akan menghakis kebanyakan institusi sedia ada.
"Kita tidak boleh lari daripada perubahan ini, sebaliknya perlu menyertainya dan kita harus berupaya mengatur strategi untuk mara, memaksimumkan peluang kita bukan hanya untuk mengharungi gelombang itu tetapi memanfaatkannya untuk ke peringkat persaingan lebih tinggi dan masa depan yang lebih baik," katanya.
Ahmad Husni berkata dalam sektor perbankan, Malaysia menyaksikan banyak banknya menyertai perubahan untuk lebih berkesan dan berdaya saing yang bermula dalam tempoh 1998-1999.
"Bank kita bergabung menjadi 10 kumpulan perbankan yang teguh daripada kira-kira 50 institusi perbankan sebelum ini. Kami berbangga dapat bersama BSN malam ini yang berjaya mengharunginya dan kini teguh," katanya.
Ahmad Husni berkata BSN meneroka pemikiran nilai baharu, satu inisiatif berani untuk mencipta semula jenama dan mempertingkat imej awamnya.
#Ahmad Husni Hanadzlah #fiskal #kesalinghubungan
;