K'jaan laksanakan pendekatan terbaik urus sektor tenaga - Shamsul Anuar
Bernama
Jun 20, 2020 13:39 MYT
Jun 20, 2020 13:39 MYT
Pendekatan yang dilaksanakan kerajaan bagi menguruskan sektor tenaga adalah yang terbaik setakat ini terutamanya dari aspek kawal selia, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Sehubungan itu, tegasnya, adalah wajar aspek pengurusan tenaga itu dikendalikan oleh satu pihak seperti kerajaan daripada pembabitan banyak pihak yang boleh mencetuskan masalah apabila berlaku isu-isu berkaitan.
"Sektor ini penting kepada kerajaan. Malah, apa yang (telah) kita lakukan ini adalah yang terbaik untuk membolehkan kita menangani isu-isu seperti yang berlaku pada hari ini.
"Sebaliknya, jika (sektor) tenaga ini (dikendalikan oleh) banyak pihak, ini akan menyusahkan kita untuk membuat kawalan.
"Oleh itu, pendekatan yang dilaksanakan kerajaan setakat ini adalah yang terbaik," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan sama ada persaingan wajar diwujudkan dalam sektor tenaga.
-- BERNAMA