K'jaan iktiraf penyelidikan sebagai pemacu universiti awam

Bernama
November 2, 2018 05:19 MYT
DR AHMAD FAUZI: Bidang penyelidikan mampu menjadi salah satu tarikan lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian tinggi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi di rantau Asia. - fotoBERNAMA/Fail
Pembentangan Belanjawan 2019 yang mengiktiraf penyelidikan di universiti awam disifatkan bertepatan dan penting dalam memacu universiti awam setanding universiti ternama dunia.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata pengiktirafan berkenaan bersesuaian dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.
"Ia bertindak sebagai pemacu untuk menyediakan pakar tempatan dan pembangunan teknologi tempatan agar seiring dengan pembangunan sains dan teknologi negara.
"Selain itu, ia merupakan petunjuk untuk Malaysia berada dalam carta universiti terbaik dunia dan sekaligus mampu menarik lebih banyak institusi dan industri berkolaborasi dengan universiti di Malaysia, " katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Ahmad Fauzi juga berkata peruntukan RM400 juta termasuk geran padanan bernilai RM30 juta bagi Program 'Malaysia Partnerships and Alliances in Research' (MyPAIR) membantu mempertingkatkan lagi kerjasama antara intitusi pengajian tinggi dengan industri tempatan serta agensi antarabangsa dalam bidang strategi.
"Ia adalah bagi meningkatkan bilangan pakar tempatan, pembangunan teknologi tempatan dan usahawan professional," katanya lagi.
Fauzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Penyelidik dan Inovasi) Universiti Awam berkata bidang penyelidikan turut menggalakkan sektor pelancongan iaitu edu-pelancongan di Malaysia khususnya dari negara-negara Timur Tengah dan Asia Tengah.
"Ia mampu menjadi salah satu tarikan lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian tinggi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi di rantau Asia," kata beliau.
Beliau turut menambah wujud ruang meningkatkan ekonomi negara melalui aktiviti perundingan, pengkomersilan, latihan professional dan edu-pelancongan disamping peningkatan dari segi jumlah penerbitan berimpak melalui dana yang diberi kerajaan .
"Saya yakin dan kita akan membantu kementerian merangka pelan penyelidikan negara yang lebih transformatif dan bermanfaat kepada negara," tambah beliau.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2019 #Dr Ahmad Fauzi Ismail #ekonomi #geran padanan #industri tempatan #intitusi pengajian tinggi #MyPAIR #pakar tempatan #pelancongan #penyelidikan #universiti awam #Universiti Teknologi Malaysia #usahawan professional #UTM
;