#JusticeForBella: Mahkamah tolak permohonan reman terhadap suspek

Hilmi Malik
Julai 16, 2021 15:10 MYT
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu kini telah dibebaskan.
KUALA LUMPUR : Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadap pengasas dan juga pemilik Rumah Bonda yang disyaki terlibat kes penderaan remaja OKU berusia 13 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu kini telah dibebaskan.
“Pengasas pusat perlindungan Rumah Bonda di Setapak Kuala Lumpur telah ditangkap pada 15 Julai jam 10.36 pagi di kediamannya di Wangsa maju.
“Permohonan reman bersabit satu laporan di Setapak telah dibuat pada hari ini namun mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut dan suspek dibebaskan,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Permohonan reman itu dibuat polis selepas menerima satu lagi laporan pada 14 Julai lalu bagi siasatan kes melibatkan kegagalan memberi jagaan dan pengawasan yang mencukupi.
Suspek sebelum ini turut disiasat dan dituduh mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan kes telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu bagi cadangan menuduh suspek serta tiga lagi individu lain.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita Dan Kanak-Kanak (D11),Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan siasatan diteruskan seperti biasa walaupun suspek tidak ditahan reman.
"Siasatan diteruskan seperti biasa walaupun saspek tidak ditahan dilokap. Keterangan saksi-saksi lain boleh diperoleh walaupun suspek tidak direman." katanya.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan seorang remaja OKU berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella mengalami kecederaan melecur pada anggota tubuh badan disyaki menjadi mangsa dera di rumah perlindungan.
BACA: #JusticeForBella: Polis tahan pemilik Rumah Bonda
#justice for bella #OKU #Bukit Aman #kes dera #rumah bonda
;