Jus buah-buahan dapat sambutan dikala jerebu
Arfa Yunus
Jun 25, 2013 07:48 MYT
Jun 25, 2013 07:48 MYT
Jualan jus buah-buahan di sekitar ibu kota kian mendapat sambutan semenjak kejadian jerebu yang melanda negara baru-baru ini.
Pengurusan Pemasaran Juice Works, Khoo Bin Chuin berkata, hasil jualan produk jus buah-buahan di semua kiosk Juice Works makin meningkat kebelakangan ini.
“Pelanggan kami semakin ramai terutama sekali sejak berlakunya jerebu mungkin kerana orang ramai mulai sedar akan kepentingan buah-buahan yang dapat membekalkan nutrient seperti Vitamin A, Vitamin C dan fiber.
Waktu paling sibuk di kiosk-kiosk kami adalah pada waktu tengahari dan selepas waktu pejabat,” kata Khoo.
Sementara itu, Pengurus Perniagaan Francais dan Projek Khas Boost Juice Bars (BJB), Yasmin Ismail pelanggan BJB lebih mahir memilih jus buah-buahan yang sesuai diminum dikala jerebu ini.
“Jenis buah-buahan yang sesuai adalah buahan yang berair seperti tembikai, oren, kiwi dan sebagainya dan apa yang dapat saya lihat, sejak berlaku masalah jerebu, pelanggan kami lebih ramai yang memilih campuran buah-buahan seperti ini,” kata Yasmin.
Pada masa sama, pakar-pakar nutrisi turut menyarankan orang ramai untuk mengamalkan cara hidup yang sihat dengan mengambil air suam secukupnya serta jus buah-buahan yang dapat merangsangkan system imunisasi badan.
Pakar Pemakanan Nestle Malaysia, Nurul Iliani Ahmad menekankan pengambilan makanan bervitamin dan mineral penting bagi memastikan kesegaran tubuh.
“Dalam keadaan berjerebu, badan kita memerlukan penjagaan yang lebih dan pada masa ini amat penting untuk kita mengambil makanan yang seimbang. Selain air suam, orang ramai boleh mengambil jus buah-buahan yang dikisar bersama sayur-sayuran untuk mendapatkan bekalan tenaga yang lebih,” kata Iliani.
Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Sime Darby , Bee See Wei pula menyarankan, orang ramai mengambil makanan yang tinggi antioksidan kerana ia dapat meningkatkan sistem imunisasi.
“Elakkan daripada memakan makanan berminyak dan yang tinggi kandungan lemaknya. Makanan dengan antioksidan yang tinggi dapat meningkatkan sistem imunisasi.
“Pilih makanan seperti ikan atau ayam, iaitu yang berdaging putih dan lebihkan sayur-sayuran dalam waktu jerebu ini. Sebagai contoh, buah strawberi, brokoli, belimbing atau apa-apa buah yang mempunyai kandungan air yang tinggi,” kata Bee.