Jurutol plaza tol Ayer Panas positif COVID-19 - DUKE

Bernama
Disember 2, 2020 22:26 MYT
Jurutol tersebut sedang menerima rawatan di hospital dan pihak Lebuhraya DUKE juga sudah menjalankan proses pengesanan kontak rapat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lorong pelbagai kelas di Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE) ditutup secara berperingkat susulan seorang jurutol telah disahkan positif jangkitan COVID-19 semalam.
Pemegang konsesi Lebuhraya DUKE, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jurutol tersebut sedang menerima rawatan di hospital dan pihak Lebuhraya DUKE juga sudah menjalankan proses pengesanan kontak rapat.
"Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dari arah pusat bandar Kuala Lumpur, Sentul dan Gombak yang ingin menuju ke arah Ampang, Setiawangsa dan Wangsa Maju dinasihatkan untuk memastikan baki kad Touch N Go dan e-dompet sentiasa mencukupi.
"Ini kerana lorong pelbagai kelas dan bangunan plaza tol akan ditutup sementara bagi kerja sanitasi dan pembersihan yang akan dilakukan pada 12 tengah malam, hari ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#DUKE #lebuhraya #COVID-19 #Ampang #tol #pesakit
;