Juruterbang pilih jalan darat ke Tanah Suci Mekah
Shuhada Abdul Kadir
Mac 20, 2024 08:20 MYT
Mac 20, 2024 08:20 MYT
AYER KEROH: Menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah tentunya menjadi impian semua umat Islam di seluruh negara terutamanya dalam melipatgandakan amal ibadah di bulan Ramadan.
Walaupun laluan udara seringkali menjadi pilihan, namun berbeza cerita dengan sekumpulan 17 peserta yang menyahut cabaran memulakan ekspedisi rentas negara sejauh 15,000 kilometer menggunakan laluan darat ke Tanah Suci Mekah.
Lebih menarik, ekspedisi melibatkan peserta berusia antara 19 dan 59 tahun yang dijangka mengambil masa 45 hari itu antaranya menggunakan kenderaan buatan Malaysia sekali gus bakal menyaksikan konvoi kenderaan Malaysia pertama yang menembusi pintu masuk bumi Allah itu.
Berkongsi cerita, seorang juruterbang, Muhammad Fawwaz Zam Zam berkata, idea untuk mengadakan ekspedisi ke Tanah Suci bermula Oktober tahun lalu sebelum dapat direalisasikan pada Ramadan ini menerusi Jelalah Silaturahim Malaysia Ke Mekah.
Dia yang membawa kenderaan jenis Proton Wira Aeroback panduan kiri berkata, meskipun pengembaraan menggunakan kenderaan dengan jarak beribu kilometer biasa dilakukan, namun ini kali pertama ekspedisi ke bumi Allah diadakan.
"Perancangan sebenarnya daripada tahun lepas lagi yang mana saya bercadang untuk mengembara secara solo dengan membawa Proton Wira saya ini.
"Namun apabila saya suarakan hasrat saya kepada rakan yang juga penyelaras projek ini, dia mencadangkan untuk mengajak rakan-rakan lain dan menjelajah bersama sebelum ianya direalisasikan kali ini," katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Fawwaz berkata konvoi berkenaan bakal merentasi 14 negara termasuk Indocina, China, Nepal, India, Pakistan, Iran, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi.
Katanya, dia dan pasukan ekspedisinya memilih untuk memulakan perjalanan pada bulan Ramadan ini susulan kekangan pembukaan pintu sempadan di Tibet, China yang hanya akan dibuka pada 1 April selain penutupan pintu sempadan tanah haram yang akan ditutup bagi musim haji.
"Mengendali pesawat memang kerjaya saya dan mungkin biasa orang cakap kerana dah biasa bawa kapal terbang, saya pilih pula untuk meredah beribu batu dengan jalan darat.
"Tetapi secara peribadi ini (memandu kereta) adalah minat saya juga dan niat saya kali ini selain mengerjakan Umrah, sebagai warga Malaysia yang patriotik saya nak bangga dengan kenderaan buatan Malaysia dan sebab itu saya mengembara naik Proton Wira," tambahnya yang juga bapa kepada empat anak.
Muhammad Fawwaz berkata, menyedari pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi, dia yang akan memandu berdua bersama rakannya telah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal sejak tahun lalu selain memberitahu kos yang digunakan adalah sekitar RM50,000.
Sementara itu, peserta termuda, Muhammad Aidil Nur Sulhi, 19 tahun, berkata, dia mengambil masa lebih sebulan untuk menyatakan persetujuan menyertai ekspedisi itu selepas didorong oleh ayahnya.
Katanya yang menunggang motosikal berkuasa rendah jenis Modenas Kriss 110, dia sememangnya sudah biasa mengembara bersama ayahnya menaiki kereta jenis Perodua Kelisa sejak berusia 13 tahun sehingga pernah menjejaki Benua Eropah dengan kenderaan itu.
Namun, ujar anak sulung kepada empat beradik itu, ini merupakan pengalaman pertamanya menunggang motosikal untuk jarak yang jauh seorang diri tanpa ditemani bapanya.
"Sebenarnya paling jauh saya pernah tunggang motosikal seorang diri adalah ke Janda Baik, Pahang dan apabila bapa saya cabar untuk menyertai ekspedisi itu dengan 'kapcai' sudah pasti pelbagai perasaan datang.
"Tetapi saya tidak ambil mudah dan pelbagai persediaan telah saya lakukan dan saya juga teruja kerana tidak sangka dapat merasai pengalaman pertama ke Tanah Suci dengan cara begini yang mana pastinya tidak akan saya sia-siakan," katanya yang berazam untuk menggunakan ilmu dipelajari sepanjang mengembara bersama bapanya.
Ekspedisi berkenaan melibatkan 10 buah kenderaan iaitu enam kereta termasuk sebuah motohome pertama buatan anak tempatan Malaysia serta empat motosikal berkuasa rendah.
Perjalanan yang melibatkan perbelanjaan sekitar RM 580,000 itu turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000 oleh kerajaan negeri Melaka yang disampaikan oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.