Juruterbang muda negara mendarat di 17 lokasi

Bernama
April 30, 2013 18:51 MYT
Seorang juruterbang muda Malaysia telah membuat pendaratan di 17 lokasi perhentian selepas melakukan penerbangan sejauh 25,109 km.
Kapt James Anthony Tan, 21, dari Sungai Long, Kajang setakat ini telah terbang ke separuh dunia, meliputi antaranya Thailand, Vietnam, Jepun, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada, Denmark, Iceland dan United Kingdom.
Sekretariat 1Malaysia Around The World (1RTW) dalam kenyataan hari ini berkata Tan dijangka kembali ke tanah air pada 12 Mei di Skypark, Subang.
Tan ialah ikon 1RTW dan merupakan kapten untuk pesawat Cessna P210 Eagle yang melakukan penerbangan solo bersejarah pada 28 Mac lepas.
Beliau ingin memecah dua rekod dunia iaitu 'Guinness Book of World Records' dan 'World Aviation Academy' dengan mengelilingi dunia sejauh 41,000 km selama 50 hari melewati 20 negara dengan 30 perhentian.
1RTW dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) 2013, di Langkawi 26 Mac lepas.
#1Malaysia Around The World #1RTW #Guinness Book of World Records #Kapt James Anthony Tan
;