Juruterbang buka kopitiam, guna khidmat robot sebagai penghantar makanan
Shuhada Abdul Kadir
Februari 18, 2021 11:48 MYT
Februari 18, 2021 11:48 MYT
MELAKA: Seiring usaha kerajaan memperkasakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan pandemik COVID-19, sebuah kopitiam di Jalan Tan Cheng Lock, Tengkera, di sini tampil dengan inisiatif menggunakan robot sebagai penghantar makanan.
Pengusahanya, Fun Guo Xuan, 36, yang juga seorang juruterbang berkata, inisiatif itu sebagai langkah mengurangkan kontak sesama individu bagi mengelakkan sebarang jangkitan COVID-19.
Menurut Guo Xuan, dia bersama isterinya yang juga seorang pramugari baru dua bulan berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan membuka kedai makan ‘Ah Kor Kopitiam’ bagi menambah pendapatan dalam situasi masa kini.
Katanya, pada peringkat awal operasi, perniagaannya yang popular dengan menu ‘Mee Udang Peringgit’ menggunakan khidmat lima pekerja dengan dibantu oleh anggota keluarganya.
Bagaimanapun, selepas mendapati terdapat beberapa restoran mewah dalam negara mula ‘menggajikan’ robot sebagai pelayan, dia memberanikan diri dengan mengambil langkah sama.
Guo Xuan memilih sebuah robot jenis ‘Pudubot’ bagi membantu urusan penghantaran makanan kepada pelanggan-pelanggannya.
“Kalau pakai robot, kita lebih kurang bersemuka dengan orang lain, robot akan hantar makanan kepada pelanggan dan kita akan sanitize (mensanitasi) setiap hari.
"Kalau kita menggunakan khidmat manusia sebagai penghantar makanan kita tidak tahu dengan siapa mereka berhubung, manakala robot dia hanya ada di kedai sahaja dan kita sanitize setiap hari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Guo Xuan berkata, robot berkenaan berharga RM40,000 dan mampu berfungsi sehingga 20 jam tanpa henti serta mampu menampung berat maksimum 40 kilogram.
Apa yang istimewanya mengenai robot Pudubot ini ialah selain bergerak berpandukan alat pengesan yang dipasang di setiap meja untuk menghantar makanan, ia juga boleh bertindak sebagai ‘tukang kemas’ sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan pekerja.
Sebetulnya, kata Guo Xuan, penggunaan robot di kopitiamnya itu selain berfungsi seperti seorang pekerja, pelaburan untuk memilikinya juga menyamai kos membiayai seorang pekerja.
Pembayaran pembelian robot dengan harga RM40,000 itu, jelas Guo Xuan, boleh dilakukan secara ansuran iaitu sekitar RM1,000 bersamaan gaji seorang pekerja.
“Bezanya ‘pekerja’ ini (robot) tidak sakit , kalau rosak pula akan diberi bantuan sokongan oleh pusat penyelenggara,” ujarnya lagi.
Sekalipun baru beberapa hari menggunakan khidmat robot berkenaan, Guo Xuan terharu kerana dia menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan-pelanggannya terutama warga emas yang bimbang dengan penularan pandemik COVID-19.
Melihat keberkesanan robot berkenaan sepanjang tempoh penggunaan, usahawan itu juga bercadang untuk menambah lagi jumlah robot penghantar itu pada masa akan datang.
#robot
#robot Pudubot
#penghantar makanan
#Ah Kor Kopitiam
#Juruterbang
#Mee Udang Peringgit
#pelayan
#Fun Guo Xuan