Jurutera temui mayat rakan terlantar dalam rumah

Adie Sufian Zulkefli
Julai 8, 2020 15:48 MYT
Mangsa yang berusia 52 tahun ditemui terbaring di lantai dapur rumahnya di Taman Makmur, Sungai Petani. - Gambar ihsan PDRM

Niat untuk datang melawat rakan sekerja dan bertanya khabar disambut dengan air mata apabila temannya itu ditemui mati terlentang di dalam rumahnya.



Dalam kejadian pukul 11.04 pagi itu, rakan berkenaan ke rumah mangsa di Taman Makmur, di sini selepas temannya itu tidak datang bekerja.


Setelah beberapa kali menghubungi mangsa dan tidak berjawab, rakannya itu bertindak memecah pintu rumah dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang di lantai dapur rumah.


Sehubungan itu, rakan mangsa terus menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, anggota forensik yang tiba di kediaman itu mendapati terdapat kesan darah di lantai tempat mangsa terbaring.


Siasatan awal, katanya, mendapati darah itu keluar dari hidung dan mulut mangsa.

Mangsa yang berusia 52 tahun bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Gurun dan
tinggal bersendirian manakala keluarganya menetap di Kuala Lumpur.
 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat.
 

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

#Gurun #jurutera mati #Kedah #rakan sekerja #Sungai Petani
;