Jurutera mesin mengaku tidak bersalah dakwaan rogol anak kandung

Shuhada Abdul Kadir
September 4, 2020 03:40 MYT
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun Jun lalu. -Astro AWANI
Seorang jurutera mesin kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa merogol anak sulung perempuannya berusia 13 tahun yang mana hubungan mereka tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang juga bapa lima anak berdepan hukuman penjara di antara lapan dan 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh turut melakukan cubaan rogol terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 376(b)/511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sama seperti kesalahan merogol.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 kerana melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan video seks kepada mangsa sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan antara pertengahan bulan Jun sehingga awal Julai lalu di sebuah rumah di Taman Limbongan Permai, Melaka.
Terdahulu pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad memohon supaya tiada sebarang jaminan dibenarkan dengan mengambil kira mangsa merupakan anak kandung, dan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan.
Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Mahkamah turut menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Tertuduh diwakili peguam Nurfarah Amiera Mohd Azlan.
#Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak #anak kandung #Anis Wahidah Mohamad #ayer keroh #Elesabet Paya Wan #jurutera #mahkamah #Mahkamah Sesyen #rogol #Seksyen 376