Jurutera maut diseret kereta satu kilometer

Bernama
Januari 14, 2017 12:43 MYT
Mangsa yang berasal dari Sitiawan maut di tempat kejadian manakala kesemua pemandu dan penumpang tiga lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. - Gambar hiasan
Seorang jurutera maut selepas dilanggar dan diseret beberapa kenderaan dalam kejadian di Km 374.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Tanjung Malim tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak DSP Mohd Mahiri Hussin berkata dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, Izzudin Hamdan, 26, menunggang motosikal di lorong kiri lebuh raya dalam perjalanan dari Manjung ke Ulu Bernam.
"Motosikal yang ditunggang Izzudin hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong tengah dan mangsa tercampak ke tengah jalan.
"Motosikal mangsa kemudian dilanggar oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Tucson dan akibat pelanggaran motosikal itu melekat di bawah SUV sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pada masa sama, Izzudin dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta jenis Audi ke lorong paling kanan sejauh satu kilometer sebelum mangsa dilanggar lagi oleh sebuah kereta lain hingga ke pembahagi jalan.
Mangsa yang berasal dari Sitiawan maut di tempat kejadian manakala kesemua pemandu dan penumpang tiga lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
Mohd Mahiri berkata ketika kejadian mangsa menunggang bersama seorang lagi rakan, Mohd Zahir Mohd Khair, 30, yang tidak terlibat dalam kemalangan itu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. -- Bernama
#DSP Mohd Mahiri Hussin #jurutera #kemalangan #Lebuhraya Utara-Selatan #maut #PLUS #Tanjung Malim
;