Jurutera IT didakwa buat hantaran jelik hina Islam

Sinar Harian
November 21, 2023 13:51 MYT
Ahmad Feisal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sorang jurutera teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan membuat hantaran jelik menghina agama Islam berhubung homoseksual di laman sosial Facebooknya, Januari lalu.
Ahmad Feisal Mohd Kamil, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Feisal didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik menggunakan akaun Facebook miliknya 'Feisal Kamil’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada jam 12.17 tengah hari, 10 Januari lalu.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini pada jam 1.45 petang, 12 Januari.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, dilarang membuat sebarang hantaran sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam, Muhammad Sufyan Wafiq Mohd Zainal mewakili OKS itu merayu agar kadar ikat jamin dikurangkan kerana lelaki itu perlu menanggung keluarga.
“Dia mempunyai masalah kewangan, selepas ditipu semasa menguruskan penempatan anaknya yang belajar di Perancis.
"Disebabkan kejadian itu, dia mengalami kerugiaan dan terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk membayar perbelanjaan anaknya di negara itu,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Priscilla Hemamalini membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes. - Sinar Harian
#hina Islam #Malaysia #Ahmad Feisal Mohd Kamil #homoseksual
;