Jurutera ditemui mati
Sharom Abu Bakar
Ogos 27, 2018 06:40 MYT
Ogos 27, 2018 06:40 MYT
Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas bermain badminton ditemui mati berhampiran kediamannya di Kampung Nyior, Bandar Paka, malam tadi.
Juriza Muda, 36 tahun, seorang jurutera di sebuah syarikat penyenggaraan industri pemprosesan minyak di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman, dijumpai terbaring di tanah bersebelahan kereta Proton Wira miliknya kira-kira jam 9.30 malam.
Mangsa ditemui dua anggota polis dari Balai Polis Paka yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah selepas melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Anggota terbabit kemudiannya menghampiri kereta berkenaan dan mendapati mangsa terbaring di atas tanah bersebelahan sebuah pagar rumah yang sedang dibina tidak jauh dari kediamannya.
Sepasukan anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Paka yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah.
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.