Juruteknik rugi RM224,000 diperdaya sindiket menyamar ejen insurans

Bernama
Februari 28, 2023 18:27 MYT
Seorang juruteknik rugi RM224,600 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menyamar sebagai ejen insurans, yang mendakwa terdapat tuntutan palsu atas nama suaminya. - Gambar hiasan
ALOR GAJAH: Seorang juruteknik rugi RM224,600 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menyamar sebagai ejen insurans, yang mendakwa terdapat tuntutan palsu atas nama suaminya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, pada awalnya wanita berusia 58 tahun itu memaklumkan, suaminya yang merupakan bekas juruteknik di kilang sama di Batu Berendam di sini, menerima panggilan telefon daripada suspek mendakwa ejen insurans kira-kira 8.30 pagi pada 14 Feb lepas.
"Ketika panggilan diterima suaminya yang berusia 61 tahun itu, kedua-dua mangsa berada di rumah mereka di Kampung Pulau Durian Tunggal dan wanita tersebut kemudian bercakap dengan suspek bagi menafikan dakwaan suaminya membuat tuntutan insurans palsu.
"Bagaimanapun, panggilan berkenaan telah disambungkan kepada pihak yang mendakwa anggota polis agar wanita itu dapat membuat aduan, namun dia dimaklumkan nama suaminya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan waran tangkap telah dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Arshad berkata, wanita itu telah menafikan penglibatan suaminya dalam aktiviti penggubahan wang haram, namun, mangsa telah disoal siasat dan diminta memberikan maklumat akaun bank dan baki wang simpanan mereka.
Beliau berkata, pada 22 Feb lepas, wanita berkenaan telah diminta suspek untuk memindahkan semua wang mereka ke akaun Bank Islam miliknya bagi tujuan siasatan namun pada pada 27 Feb lepas, dia menyedari wang berjumlah RM224,600 dalam akaunnya itu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya.
Arshad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - BERNAMA
#juruteknik rugi #mangsa scam #menyamar ejen insurans #tuntutan insurans palsu
;