Juruteknik rugi lebih RM444,000 terpedaya ‘job scam’ dalam talian

Abd Razak Mohd Ali
Januari 12, 2025 09:15 MYT
Mangsa menyedari telah ditipu apabila sehingga kini belum menerima komisen seperti dijanjikan.
IPOH: Seorang juruteknik mengalami kerugian RM 444,967 selepas mendakwa terperdaya dengan penipuan pekerjaan atau 'job scam' dalam talian, pada November lepas.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, menurut lelaki tempatan berusia 42 tahun itu, pada 21 November lalu, semasa berada di rumah, dia melayari laman Facebook dan berminat dengan satu iklan pekerjaan dalam talian.
Menurutnya, pengadu kemudian berurusan dengan suspek, seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek telah memberikan tugasan kepada pengadu untuk membuat bayaran harga-harga barang yang diberikan terlebih dahulu dengan nilai berbeza, bermula jumlah yang kecil sehingga puluhan ribu dan dijanjikan akan menerima semula wang beserta komisen antara empat hingga 10 peratus daripada nilai bayaran telah dibuat.
“Pengadu seterusnya membuat beberapa pindahan wang secara dalam talian ke 10 akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM444,967,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zulkafli berkata, pengadu menyedari telah ditipu apabila sehingga kini belum menerima komisen seperti dijanjikan.
Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap taktik penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan pelbagai.
Menurutnya, berdasarkan kepada analisa dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, aplikasi yang sering digunakan oleh sindiket penipuan adalah Facebook dan WhatsApp.
Katanya, PDRM juga menyeru orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang menarik atau memerlukan bayaran pendahuluan.
“Sila semak latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan sebelum mengambil sebarang tindakan,” ujarnya.
#sindiket penipuan #job scam #juruteknik #komisen
;