Juruteknik mengaku tidak bersalah bunuh abang kandung
Astro Awani
Mei 18, 2017 12:30 MYT
Mei 18, 2017 12:30 MYT
Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas kesalahan menyebabkan kematian abang kandungnya, 14 Mei lalu.
Tertuduh, Lim Hiang Haw, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menyebabkan kematian Lim Poh Haw, 59, di hadapan rumah No 6342 Sama Gagah, Permatang Pauh kira -kira jam 7.30 pagi 14 Mei lepas.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 304 ( b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Kamaliza Md Zain manakala tertuduh diwakili Peguam RSN Rayer.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM 10,000 dan perlu melapor diri ke balai polis bedekatan setiap bulan.
Kes disebut semula pada 17 Julai depan.
Pada 14 Mei lepas, seorang lelaki maut selepas kepalanya dihentak menggunakan alat pemadam api selepas dikatakan bergaduh dengan adiknya akibat perselisihan faham diantara mereka.