Juruteknik maut dalam nahas babitkan tiga kenderaan
Adie Sufian Zulkefli
Mei 11, 2024 16:45 MYT
Mei 11, 2024 16:45 MYT
KUALA MUDA: Seorang juruteknik maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 44 Jalan Alor Setar-Butterworth di sini pada Sabtu.
Mangsa Azman Hamzah, 47, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Produa Myvi dipercayai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Ketika kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki sedang bergerak dari Sungai Lalang ke arah Gurun manakala kenderaan mangsa serta sebuah lagi jenis Honda City yang dipandu seorang wanita bergerak dari arah sama Gurun ke Sungai Petani.
“Tiba di lokasi kejadian pemandu pacuan empat roda cuba memotong kenderaan dipercayai gagal lalu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Produa Myvi dan Honda City,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Wan Azharuddin berkata, akibat pertembungan itu pemandu Myvi maut di tempat kejadiaan manakala wanita berusia 42 tahun yang juga kakitangan kerajaan dan pemandu pacuan empat roda cedera parah.
Mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
Pemandu wanita dibawa ke sebuah hospital swasta manakala pemandu Toyota Hilux lelaki berusia 41 tahun dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.