Juruteknik direman berhubung kes bunuh TKP Kastam
Astro Awani
Julai 6, 2014 13:48 MYT
Julai 6, 2014 13:48 MYT
Seorang juruteknik pendawaian berusia 20 tahun ditahan reman selama enam hari mulai Ahad berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya.
Pegawai Penyiasat DSP Hamzah Buman berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kata Hamzah, suspek sebelum ini ditahan reman mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kes samun, sejak 24 Jun lalu.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya.
Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di sini pada 26 April tahun lepas.
Dalam kejadian 8.15 pagi itu, dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, Putrajaya.
Shaharuddin cedera di leher dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9.20 pagi di Hospital Putrajaya.
Pada Khamis, polis mengumumkan suspek utama kes pembunuhan Shaharuddin diberkas.
Suspek itu ditahan bersama tiga lagi individu lain dalam dua serbuan berasingan di Ampang dan Batu Caves, oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, berdasarkan maklumat dan pemantauan yang dijalankan jam 5 pagi Rabu.