Juruteknik dipenjara enam bulan, denda RM12,000 hina kalimah Allah
Astro Awani
Mac 22, 2024 11:41 MYT
Mac 22, 2024 11:41 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 34 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat hantaran bersifat jelik berkaitan kalimah Allah pada Jumaat.
Tertuduh, Chiok Wai Loong yang bekerja sebagai juruteknik aplikasi sosial itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 atas kesalahan tersebut.
Wai Loong berkata, dia tidak sengaja dan hanya menjadi keyboard warrior serta tidak mengetahui kalimah Allah yang ditulis menghina agama Islam.
Dalam masa sama, Wai Loong dalam rayuannya memohon supaya tidak dipenjara kerana tidak mahu kehilangan kerja.
Tambahnya, sebagai orang Cina, rantai kaki dan tangan serta tatu Tuhan di pelbagai bahagian badan dilihat sebagai hal kecil dan tidak tahu perkataan itu boleh menjadi penghinaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman berat dan setimpal agar menjadi pengajaran kepada masyarakat di luar sana lebih berhati-hati.