Juruteknik dipenjara 6 bulan ugut sebar gambar bogel bekas teman wanita

Nur Fazlizai Ali
Disember 8, 2022 17:04 MYT
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 15 Oktober lepas. - Gambar/ Bernama
KUALA TERENGGANU: Seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan untuk menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya, Januari lalu.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu terhadap Wan Azuan W Ismail, 29, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita berusia 22 tahun melalui panggilan telefon di Kuala Ibai, dekat ini pada 7.48 pagi, 25 Januari lalu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 15 Oktober lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#sebar gambar bogel #bekas teman wanita #hukuman penjara #teman lelaki
;