Juruteknik berusia 24 tahun menang BMW iX, berkat menabung dengan Maybank Islamic Zest-i Account

Israr Khalid
Mac 6, 2024 17:43 MYT
Muhamad Aiman mula menabung dengan Akaun Pelaburan Mudarabah: Zest-i Maybank Islamic sejak awal tahun lepas.
SEORANG juruteknik berusia 24 tahun dari Putrajaya, Muhamad Aiman Rozani telah terpilih untuk membawa pulang sebuah kereta elektrik BMW iX xDrive 40 Sport.
Beliau merupakan pemenang hadiah utama dalam kalangan 408 pemegang akaun yang terpilih sebagai pemenang cabutan bertuah Akaun Pelaburan Mudarabah: Zest-i Maybank Islamic bagi bulan Disember 2023.
Pemuda yang berasal dari Pulau Pinang itu tidak menyangka panggilan demi panggilan yang diterimanya daripada nombor tidak dikenali adalah satu rezeki besar buatnya, memandangkan beliau membuka akaun hanya pada awal tahun lepas.
“Saya fikirkan ‘scam’ yang sedang berleluasa ketika ini, tapi selepas mendapat mesej daripada pihak Maybank memberitahu saya tentang kemenangan ini, barulah saya percaya.
“Saya membuka akaun sekadar mencuba nasib apabila melihat adanya cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik, tak sangka boleh menang secepat ini,” katanya yang secara konsisten menambah tabungannya setiap bulan.
Selain Aiman yang memenangi hadiah utama kategori cabutan akhir tahun, sebahagian pemenang bagi tiga lagi kategori iaitu cabutan bulanan, suku tahunan, separuh tahun turut menerima hadiah masing-masing pada acara penyampaian yang berlangsung di Maybank Cawangan Putrajaya pada Selasa 5 Mac 2024.
Hadiah-hadiah lain juga turut disampaikan kepada para pemenang lain, termasuk iPhone 14 Pro, Samsung Smartwatch, Macbook Air M2, 10g Maybank Islamic Gold Account-i (MIGA-i), Pakej Umrah/Percutian VVIP, dan lain-lain lagi.
Sebelum acara di Putrajaya itu, majlis penyampaian hadiah turut diadakan di beberapa cawangan Maybank yang terpilih di seluruh Malaysia.
Zest-i merupakan akaun pelaburan patuh syariah daripada Maybank Islamic yang diperkenalkan lima tahun lalu.
Ia akaun pelaburan pertama dalam Kumpulan Maybank yang menawarkan cabutan hadiah sepanjang tahun berjumlah RM5 juta untuk memberikan hadiah yang lebih baik dan tawaran unik kepada pelanggan dengan pelaburan minimum serendah RM200 hingga RM500 sahaja.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bhd, Nor Shahrizan Sulaiman, faktor ini menjadi tumpuan utama bagi pelanggan, kerana ia memberi mereka peluang untuk membuat pelaburan di samping memenangi hadiah menarik dengan menyediakan faedah tambahan dan usulan nilai yang unik.
“Di samping itu, pengenalan solusi digital untuk membuka akaun atas talian melalui aplikasi MAE atau laman sesawang Maybank2u memudahkan proses dan menjimatkan masa pelanggan kerana mereka boleh membuka Zest-i dari mana-mana sahaja.
“Lebih mengagumkan, dengan hanya dalam lima hingga sembilan minit, pelanggan dapat membuka akaun dari keselesaan rumah atau pejabat, menjadikan pengalaman pelaburan mereka lebih mudah dan cepat,” kata beliau.
Secara keseluruhan, usaha Maybank Islamic Berhad dalam memanfaatkan platform digital dan memperkenalkan ciri-ciri inovatif seperti cabutan hadiah sepanjang tahun membantu meningkatkan pengalaman pelanggan dan menyesuaikan diri dengan landskap kewangan yang sentiasa berubah.
Sehingga kini, Maybank Islamic berjaya mencapai dana sebanyak lebih RM1 billion dengan lebih 470,000 pelanggan sepanjang empat tahun menganjurkan Zest-i.
Maybank Islamic berhasrat untuk mengembangkan tambahan 100,000 pelanggan baharu dan meningkatkan pertumbuhan saiz dana pelaburan lebih dari RM2 billion sehingga hujung tahun ini.
#maybank islamic #Zest-i #Muhamad Aiman Rozani #juruteknik berusia 24 tahun
;