Jurusolek mengaku tidak bersalah cederakan anak angkat

Bernama
Oktober 10, 2024 17:51 MYT
Tertuduh berusia 35 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. -Gambar hiasan
SEREMBAN: Seorang jurusolek lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak angkat lelakinya, dua tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Seorang jurusolek lelaki berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak angkat lelakinya yang berusia enam tahun, dua tahun lalu.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun. Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan.
  • Seorang pengemas bilik hotel, T. C. Peter, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak yang sama. Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan.

Tertuduh berusia 35 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Dia dituduh menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal iaitu patah kaki kanan di Jalan Desa Rusa 4, Port Dickson kira-kira 7.30 malam pada 3 Nov 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.
Peguam tertuduh Dinesh Muthal bagaimanapun meminta jaminan minimum dan memaklumkan anak guamnya menanggung ibunya yang dirawat di hospital akibat sakit berkaitan mental.
"Tertuduh bekerja sebagai jurusolek. Pendapatannya bermusim iaitu ketika musim perkahwinan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan dia diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Port Dickson sekali sebulan sehingga kes selesai dan sebutan semula kes ditetapkan 29 Nov.
Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, seorang pengemas bilik hotel yang juga rakan kepada tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak sama pada 30 Sept lepas.
T. C. Peter, 36, didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama kira-kira 10 malam dan pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian meminta mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin.
Peguam tertuduh Mohd Hanif Hassan memohon mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, belum berkahwin selain menanggung ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang dan jantung.
"Tertuduh juga menghidap penyakit buah pinggang dan mempunyai temu janji di hospital secara berkala setiap bulan. Dalam kes ini, tertuduh ada bersama dengan mangsa semasa kejadian dan anak berkenaan ialah anak angkat kepada rakannya yang dituduh hari ini," katanya.
Hakim Surita Budin membenarkan Peter diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Nov.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #jurusolek lelaki #Anak angkat #Jalan Desa Rusa 4 Port Dickson
;