Jururawat wanita maut selepas langgar belakang lori di lebuh raya SILK
Bernama
Februari 19, 2025 14:13 MYT
Februari 19, 2025 14:13 MYT
Kejadian berlaku semasa jururawat itu sedang menunggang motosikal dari arah Cheras Jaya, Kuala Lumpur menuju ke tempat kerja. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Seorang jururawat wanita maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 28.2 Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (SILK) semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang Supt Shan Gopal Krishnan berkata kejadian berlaku pada kira-kira 1 tengah hari semasa jururawat berumur 29 tahun itu sedang menunggang motosikal dari arah Cheras Jaya, Kuala Lumpur menuju ke tempat kerja.
Beliau berkata jururawat itu dikatakan telah melanggar sebuah lori tiga tan yang dipercayai berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal, menyebabkan dia tercampak ke sebelah kanan jalan, sebelum digilis kereta Perodua Bezza dan Perodua Alza.
"Siasatan diteruskan dan kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang atau Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-648 8474 bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shan Gopal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA