Jururawat, suri rumah didakwa memperdagangkan bayi berusia sembilan hari

Abd Razak Mohd Ali
Januari 25, 2023 10:54 MYT
Noor Azlina Mohd Nasir dan D. Murugamal mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari, lebih dua tahun lalu.
IPOH: Seorang jururawat dan seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari, lebih dua tahun lalu.
Noor Azlina Mohd Nasir, 41 yang bertugas di sebuah hospital di Alor Setar dan D. Murugamal, 52, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Mengikuti kertas pertuduhan, mereka didakwa untuk mencapai niat yang sama, telah memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari iaitu sejenis eksploitasi yang menyalahi undang-undang.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan letak kereta berdekatan sebuah hospital swasta di Manjung, kira-kira jam 12 tengah hari, 18 Jun 2020.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga dihukum sebat.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Februari sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Mohd Farouk.
#Mahkamah Sesyen Ipoh #jururawat #memperdagang bayi #bayi berusia sembilan hari
;