Jururawat nyaris maut, tayar lori hentam kereta

Sinar Harian
September 4, 2023 06:45 MYT
Tangkap layar video yang tular memaparkan tayar sebuah lori tangki tercabut dan terpelanting ke arah kereta Honda City dipandu seorang jururawat. - Foto Sinar Harian
JEMPOL: Seorang jururawat nyaris maut selepas tayar sebuah lori tangki tercabut dan terpelanting ke arah kereta Honda City dipandunya di Jalan Bahau-Batu Kikir di sini pada Isnin.
Rakaman video kejadian itu yang berdurasi 37 saat turut tular di media sosial.
Menerusi video berkenaan, kelihatan tayar lori terbabit tercabut secara tiba-tiba di bahagian belakang dan terus terpelanting ke arah kereta dipandu mangsa dari arah bertentangan.
Lantunan tayar itu juga dilihat agak kuat, namun mangsa mangsa sempat membrek kereta dipandu daripada terbabas.
Mangsa yang memakai pakaian jururawat kemudian dilihat keluar dari keretanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook memaklumkan kedua-dua pemandu kenderaan terlibat telah pun membuat laporan polis.
"Kejadian itu tidak melibatkan kecederaan dan pemandu lori telah disaman di bawah Peraturan 94 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana komponen kenderaan tercabut," katanya. - Sinar Harian
#kemalangan #jururawat nyaris maut #tayar lori hentam kereta #tayar lori tercabut
;