Jururawat mengaku tidak bersalah sebabkan kematian bayi berusia sebulan

Bernama
September 17, 2024 12:10 MYT
Nur Ain Natasha mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap pertuduhan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia sebulan, minggu lepas. --fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Seorang jururawat mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia sebulan, minggu lepas.
Nur Ain Natasha Mohd Sabri, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Ain Natasha sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi lelaki tersebut, didakwa mendedahkan mangsa kepada situasi yang mungkin menyebabkan kecederaan antara pukul 4.47 pagi hingga 5.30 pagi, pada 9 Sept lalu di sebuah pusat jagaan berpantang di sini.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan kepada jururawat itu kerana ia kesalahan yang serius, namun peguam Nur Alini Ahamad Kamil memohon mahkamah membenarkan anak guamannya diikat jamin atas alasan dia masih muda, tidak mempunyai rekod jenayah dan boleh memberi kerjasama dalam siasatan kes tersebut.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 3 Okt ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#kematian bayi lelaki #pengabaian #jururawat #pusat jagaan berpantang
;