Jururawat maut terperosok bawah lori tangki
Astro Awani
Ogos 22, 2020 23:06 MYT
Ogos 22, 2020 23:06 MYT
Seorang jururawat wanita maut selepas terperosok di bawah sebuah lori tangki dalam kemalangan di kilometer lima Jambatan Pulau Pinang, George Town pada petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa M Parithimalar, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 2.45 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat.
"Setiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori tangki minyak dan dua buah motosikal.
"Terdapat seorang mangsa meninggal dunia akibat tersepit di bahagian bawah lori manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa lelaki berusia 25 tahun yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Menurutnya lagi, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Mayat mangsa diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
#bomba
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM Pulau Pinang
#kemalangan
#M Parithimalar
#maut
#mayat
#meninggal dunia