Jururawat maut kemalangan seminggu sebelum berkahwin
Bernama
Ogos 24, 2014 23:55 MYT
Ogos 24, 2014 23:55 MYT
Seorang jururawat yang bakal mendirikan rumahtangga pada 30 Ogos ini terbunuh apabila kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan di Pagoh semalam.
Kemalangan itu berlaku ketika Amirah Abdul Rahim, 25, dalam perjalanan dari rumahnya di Rengit, Batu Pahat menuju ke tempat kerjanya di Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Ledang, kira-kira 7 pagi.
Ketua Polis Muar ACP Azman Ayob berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.
Sementara itu bapa mangsa, Abdul Rahim Sobri, 48, berkata dia sedih dengan nasib yang menimpa anaknya yang meninggal dunia ketika majlis perkahwinannya bakal dilangsungkan hujung minggu depan.
"Saya tahu (anak meninggal dunia) apabila tiba di lokasi kejadian melihat satu jasad terbujur kaku ditutup dengan kain," katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambi, Rengit pada sebelah petang.