Jururawat maut ditikam: 'Saya maafkan, tapi mahu hukuman setimpal' - Kakak
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 1, 2023 17:02 MYT
Oktober 1, 2023 17:02 MYT
ALOR SETAR: Kakak kepada jururawat yang ditemukan maut dipercayai ditikam suami di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, semalam mahukan pembelaan dan hukuman seadilnya dikenakan terhadap pembunuh adiknya itu.
Menurut Melati Abu Bakar, 38, dia memaafkan suspek namun tetap mahukan hukuman berat supaya dapat memberi pengajaran kepada pesalah dan juga orang lain.
"Memang rasa sakit hati itu ada sebab mangsa itu adik kan... saya minta segala keputusan (hukuman) yang terbaik... pengadilan yang seadilnya... mana-mana orang pun yang berada di dalam situasi ini akan mengharapkan keputusan itu yang betul-betul adillah," katanya.
Dia yang mengetahui kejadian menimpa adiknya itu, Munirah, 31, melalui saudaranya pada jam 1 tengah hari semalam, mengakui terkejut serta tidak menyangka adik kelimanya itu mati sedemikian rupa.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah adiknya pada Ahad lepas ketika wanita itu datang ke rumahnya di Beseri.
Melati berkata, ketika itu adiknya ada menyuarakan hasrat mahu ke Pejabat Agama kerana masalah rumah tangga namun dia menasihati adiknya supaya berfikir terlebih dahulu.
"Dia beritahu ada masalah dengan suami, saya kata fikir anak-anaklah apa-apa pun buat keputusan yang terbaik. Itu yang saya pesan dekat dia sebab saya pikir anak-anak dia... sebab anak-anak dia kecil lagi," katanya.
Melati ditemui ketika menunggu proses bedah siasat dan menuntut jenazah di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar hari ini.
Katanya, jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Tengah, Beseri sebaik selesai bedah siasat dijalankan.
Sementara itu, rakan sekerja Allahyarham, Intan Shafinaz Hashim, 33, berkata arwah seorang yang disenangi dikalangan rakan.
Katanya, sifat ringan tulang dan suka membantu membuatkan arwah disayangi semua orang termasuk pesakit yang berada di dalam Wad Bersalin di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.
"Dia memang baiklah... semua wad tempat dia bekerja dia memang jenis ramah, memang ceria. Dia kerja bagus, sikap pun baik," katanya.
Semalam Astro AWANI melaporkan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar maut ditikam suaminya ketika hendak keluar untuk berkerja pada jam 6 pagi.
Suspek berusia 38 tahun yang juga pesara tentera telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.