Jururawat disyaki guna kereta klon dan lesen palsu ditahan
Bernama
Oktober 17, 2018 05:40 MYT
Oktober 17, 2018 05:40 MYT
Keterujaan seorang jururawat lelaki membeli kereta terpakai dengan harga murah membawa padah apabila ditahan pada sekatan jalan raya kerana dipercayai memiliki kereta klon.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan selepas kereta jenis Suzuki Swift, yang dibelinya sejak tiga bulan lepas itu, diperiksa pada operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Awan Besar menghala ke ibu negara malam tadi.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ismail Mohd Zawawi berkata pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu dipercayai palsu kerana tidak selari dengan nombor casis.
"Menurut lelaki itu, kenderaan itu dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM6,000.
"Pemeriksaan lanjut turut mendapati lesen memandu yang digunakan lelaki itu adalah palsu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.
Ismail berkata kenderaan berkenaan disita pihak JPJ manakala lelaki berkenaan ditahan anggota polis trafik untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi yang bermula 8.30 malam, sebanyak 121 saman dikeluarkan serta sembilan individu lain ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan imigresen.
Katanya sebanyak 61 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan sebanyak 90 saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh.
Operasi bersepadu itu melibatkan enam agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar, Polis Tentera dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
-- BERNAMA
#Ismail Mohd Zawawi
#JPJ
#kereta
#kereta klon
#lesen memandu
#nombor casis
#nombor pendaftaran
#operasi
#palsu
#polis
#saman
#siasatan