Jururawat digalak untuk ambil ijazah -Subramaniam
Dania Zainuddin
Mei 11, 2016 20:28 MYT
Mei 11, 2016 20:28 MYT
Kementerian kesihatan mengalakkan golongan jururawat mendapatkan pendidikan pada peringkat ijazah dan memiliki pengkhususan dalam bidang itu.
Menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam, berkata ini akan memperluaskan peranan jururawat dalam industri kesihatan dan pelbagai perubahan perlu dilakukan untuk mencapai hasrat itu.
"Jururawat memainkan peranan penting bukan sahaja di dalam hospital besar tetapi juga di klinik kecil terutamanya di luar bandar.
"Klinik di pedalaman sebagai contoh, biasanya tiada doktor, dan jururawat serta pegawai penolong perubatan yang menyediakan perkhidmatan memberi impak besar kepada masyarakat setempat," kata Subramaniam dalam satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Selain itu, jururawat juga boleh dilatih dalam bidang penyakit gaya hidup seperti diabetes di mana mereka boleh memainkan peranan sebagai penasihat kepada pesakit tentang cara pemakanan dan menyuntik insulin.
Latihan seperti ini akan menyumbang secara langung dalam memastikan wujudnya kawalan terhadap penyakit gaya hidup.
Setakat ini, 89,000 jururawat sedang berkhidmat di sektor awam dan 38,000 di sektor swasta, dengan 652 jururawat di sektor awam adalah pemegang ijazah.
Sementara itu, Subramaniam berkata penggubalan peraturan mengenai vape dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Jelasnya pihaknya kini bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan serta beberapa kementerian dalam proses penggubalan peraturan tersebut sebelum ia dibentangkan di kabinet.
"Selepas peraturan ini diwarta serta dikuatkuasakan, semua pihak dalam rantaian industri akan tertakluk kepada peraturan itu, termasuk pengeluar, pengedar, dan pengguna vape," kata Subramaniam.
Menurutnya, peraturan baharu itu akan memperuntukkan beberapa komponen tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian kesihatan manakala komponen lain membabitkan kementerian yang lain.