Jururawat, anggota polis maut motosikal bertembung di Jalan Sardon

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 13, 2023 18:44 MYT
Koperal Muhammad Zohair Dzulkefle meninggal dunia di tempat kejadian, manakala jururawat, Norliana@Norsyazwani Roslan, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Balik Pulau. - Foto ihsan pembaca
BALIK PULAU: Seorang anggota polis dan jururawat meninggal dunia dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung di Jalan Tun Sardon , Pulau Pinang hari ini.
Dalam kejadian pada jam 6.45 pagi itu, Koperal Muhammad Zohair Dzulkefle, 44, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala jururawat, Norliana@Norsyazwani Roslan, 29,meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Balik Pulau.
Kejadian dipercayai berlaku ketika Muhammad Zohair dalam perjalanan dari Relau menuju ke Balik Pulau dan bertembung dengan motosikal ditunggang Norliana yang datang dari arah bertentangan.
Berdasarkan siasatan polis, kejadian itu berlaku di jalan raya dua hala berselekoh dengan garisan berkembar di tengah selain keadaan cuaca hujan dan jalan basah.
Difahamkan, polis tersebut bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dan jururawat berkenaan berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) di Jalan Perak, Pulau Pinang.
Mayat mangsa dihantar Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut.
Sementara itu, suami Norliana Syukur Zainol, 29, terkejut sebaik menerima perkhabaran isterinya maut dalam kemalangan pagi tadi.
Beliau berkata, isterinya bekerja sebagai kakitangan KKM di Jalan Perak dan sedang menyambung pengajian kursus Diploma Lanjutan Kebidanan di sebuah kolej kejururawatan di Bertam .
Isterinya keluar dari rumah jam 6.15 pagi tadi dari Sungai Pinang dijangka akan tamat pengajian pada minggu ini.
"Dia berulang-alik dengan motosikal dari rumah kami di Sungai Pinang, Balik Pulau ke Bertam, Kepala Batas setiap hari sejak menyambung pengajian dan tidak menyangka pagi tadi adalah kali terakhir kami bersalaman sebelum dia keluar dari rumah kira kira jam 6.15 pagi." katanya sebak.
Syukur berkata dia reda dengan pemergian isteri tercinta dan menyifatkan Norliana sebagai seorang yang pendiam serta penyayang.
Katanya, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang di Balik Pulau hari ini selepas semua urusan bedah siasat selesai dijalankan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di unit Forensik di Hospital Pulau Pinang.( HPP) pada Isnin.
#anggota polis maut #jururawat maut #motosikal bertembung #Jalan Tun Sardon
;