Jurupam didakwa salah guna kad kredit individu lain beli telefon pintar
Adie Sufian Zulkefli
Januari 8, 2017 16:09 MYT
Januari 8, 2017 16:09 MYT
Tindakan licik seorang pemuda berbelanja menggunakan kad kredit milik individu lain tanpa kebenaran membawa padah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar, siang tadi.
Muhammad Shazwan Abdul Halim, 20 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai yang beralamat di Taman Saga Fasa 4, Jalan Alor Mengkudu, di sini, pada 23 dan 26 Disember lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dengan curang telah menyalahgunakan kad kredit Visa Maybank milik Ana Rozana Mohd Nor, 34 tahun, tanpa kebenaran.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kad kredit itu untuk membeli telefon pintar jenis Samsung J1 2016 berwarna keemasan berharga RM478 pada 23 Disember 2016.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia sekali lagi didakwa menggunakan kad kredit sama untuk membeli telefon pintar jenis Samsung J7 Prime berwarna hitam dan sebuah powerbank berharga RM1,221 pada 26 Disember lalu.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun dan dengan sebatan, selain denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Eliana Ismail menawarkan jaminan sebanyak RM9,000 untuk kedua-dua pertuduhan.
Muhammad Shazwan yang bekerja sebagai jurupam di sebuah stesen minyak kemudiannya memohon kes dibicarakan dan merayu supaya wang jaminan dikurangkan.
Majistret, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes.