Jurulatih wushu hadapi 10 tuduhan lakukan amang seksual terhadap pelatih remaja
Bernama
Mei 26, 2022 21:13 MYT
Mei 26, 2022 21:13 MYT
PUTRAJAYA: Seorang jurulatih wushu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
Gjeblehim Bong Teck Fuu, 31, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Aima Naziha Wan Sulaiman.
Bekas atlet negara itu sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang merupakan pelatihnya.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sekitar Februari lepas di sebuah rumah di Taman Kajang Mewah, Kajang, Selangor.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Liu dan Vam Shir Mooi.
Bong ditahan polis pada 11 Mei lepas, sehari selepas pengadu membuat laporan polis.
Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji pada sidang medianya berkata mangsa mungkin berdiam diri ketika kejadian dan membiarkan tindak-tanduk suspek kerana menganggapnya jurulatih mereka.
Katanya akibat ketakutan, mangsa telah memaklumkan kepada ibu bapa dan laporan polis telah dibuat.
-- BERNAMA