Jurulatih tampar pemain: Tidak wajar guna kekerasan dalam pendidikan sukan - Alimuddin

Madiha Abdullah
Januari 3, 2023 23:33 MYT
Tindakan menggunakan kekerasan fizikal adalah amat tidak wajar dan tindakan harus diambil. - Gambar fail/ Twitter @PejaOfPerak
KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk hukuman sentuhan fizikal adalah menyalahi undang-undang sekolah dan guru tidak seharusnya menggunakan kekerasan, apatah lagi untuk perkara seperti aktiviti sukan.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, sekalipun jika jurulatih itu bukan guru di sekolah, tindakan menggunakan kekerasan fizikal amat tidak wajar.
"Kita ada peraturan di sekolah di mana guru tidak boleh mengambil tindakan fizikal. Kita ada peraturan, yang diberi kuasa merotan hanya guru besar atau pengetua atau wakil mereka sahaja.
"Mengenakan hukuman atau tindakan fizikal ini bertentang dengan dasar pelajaran, tetapi kita pun tidak tahu apa bentuk perbincangan yang telah dibuat antara tiga pihak ini (guru, jurulatih dan ibu bapa), atau jika jurulatih itu mempunyai masalah lain," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Selasa.
Beliau mengulas video tular menunjukkan seorang jurulatih menampar dua pemain wanitanya ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor, pada 14 hingga 16 Disember lalu.
Tampar Pemain | Keluarga atlet minta henti kecam Cikgu Hadee
Jelasnya, terpulang kepada pihak kementerian untuk menentukan tindakan selanjutnya jika jurulatih itu seorang guru, yang pastinya meletakkannya tertakluk pada peraturan.
Beliau juga kesal apabila peluang mendidik dan menerapkan nilai murni dalam sukan tidak digunakan sepenuhnya oleh jurulatih terbabit.
"Tugas jurulatih ialah membina pasukan, dia harus guna kemahirannya untuk membentuk pasukan yang kuat. Dia juga berperanan memberi motivasi dan semangat kepada anak buah, pemain tak boleh takut pada jurulatih.
"Malah jurulatih sudah tidak perlu lagi apabila permainan berjalan, jadi jurulatih tidak boleh menghukum. Kalau menang kita raikan, kalau kalah kita cari jalan bagaimana nak jadikan pasukan lebih baik," katanya lagi.
Pantau Kerajaan Baharu | Aktiviti luar bilik darjah, perlu standard baharu?
#jurulatih tampar pemain #bola tampar #Alimuddin Mohd Dom #Tokoh Pendidikan Negara #PM10
;