Jurulatih Muay Thai didakwa rogol gadis

Sinar Harian
Jun 24, 2024 18:02 MYT
Muhammad Haziq (tengah) dibawa ke mahkamah bagi menghadapi empat pertuduhan jenayah seksual.
KOTA BHARU: Seorang jurulatih Muay Thai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin terhadap tuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan pecah rumah dengan niat menyerang secara seksual ke atas seorang remaja perempuan antara Januari hingga Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Haziq Aiman Azhar, 25, didakwa di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 17 tahun di sebuah rumah di Bachok pada jam 4 pagi, Januari dan 9 April lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pada pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi sama pada jam 5.45 pagi, 3 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.
Sementara itu, pada pertuduhan keempat, Muhammad Haziq Aiman didakwa melakukan pecah rumah didiami mangsa sama untuk menyerang gadis terbabit secara seksual pada jam 5.45 pagi, 3 Jun lalu.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana dakwaan dihadapi tertuduh amat serius.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam. - Sinar Harian
#kes rogol #jurulatih Muay Thai #pecah rumah #Kelantan
;