Jurukimpal mengaku tidak bersalah rogol remaja OKU

Muhafandi Muhamad
Oktober 18, 2021 13:00 MYT
Tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun itu di sebuah rumah di Bachok pukul 4.45 petang pada 27 Jun 2020.
KOTA BHARU: Seorang jurukimpal didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, di atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam, Jun tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Zul Amri Mohamed, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di sebuah rumah di Gunong, Bachok, pukul 4.45 petang pada 27 Jun 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu serius dan berlaku pada tahun 2020.
Mahkamah juga tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#jurukimpal #rogol remaja OKU #OKU lembam #Mahkamah Sesyen Kota Bharu
;