Jurukimpal mengaku tidak bersalah cuba rogol anak saudara lapan tahun
Adie Sufian Zulkefli
September 6, 2018 15:45 MYT
September 6, 2018 15:45 MYT
Seorang jurukimpal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan cubaan rogol terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun lapan bulan pada Jun lalu.
Tertuduh berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya.
Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang merupakan anak saudaranya kira-kira pukul 2 petang 17 Jun lalu dan pukul 5 petang keesokan harinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Bukit Larek, Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena, Kedah.
Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Juraidah Abbas atas pertuduhan cuba merogol kanak-kanak sama, di Kampung Bukit Larek kira-kira pukul 3 petang 16 Jun lalu.