Jurukimpal didakwa rogol remaja sampai lahir anak
Vivi Sumanti
Februari 25, 2021 15:48 MYT
Februari 25, 2021 15:48 MYT
KOTA BHARU: Seorang jurukimpal besi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dakwaan merogol seorang remaja bawah umur berusia 14 tahun 10 bulan Mei tahun lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Muhammad Azariman Anuar, 23, telah merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berumur 14 tahun 10 bulan pukul 6 petang di dalam sebuah kereta di Kampung Pangkal Pisang, daerah Kota Bharu sekitar bulan Mei tahun lalu.
Untuk kesalahan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang mana boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry yang tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan daripada mahkamah kerana ia merupakan kesalahan pertama dirinya.
Bagaimanpun, mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan tarikh 5 April ini sebagai sebutan semula kes untuk laporan kimia dan perubatan.
Mangsa yang dirogol oleh tertuduh telah melahirkan anak yang kini sudah berusia seminggu dan akan menyambung pelajaran selepas habis pantang.
#jurukimpal besi
#rogol remaja
#Mahkamah Sesyen Kota Bharu
#remaja bawah umur
#Ahmad Bazli Bahruddin
#Seksyen 376 Kanun Keseksaan
#penjara