Jurujual wanita maut kereta terbabas
Nazialita Geynna Maharan
Jun 17, 2017 12:34 MYT
Jun 17, 2017 12:34 MYT
Seorang jurujual wanita maut setelah kenderaannya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 24.8 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Gunung Panjang pada lewat malam Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 11.55 malam itu, Soo Pooi Min,32, yang memandu kenderaan jenis Perodua Axia dipercayai hilang kawalan dan terbabas dalam insiden yang meragut nyawanya itu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata mangsa dipercayai menuju ke Kampar dari arah Gopeng sebelum hilang kawalan secara tiba-tiba di lokasi kejadian.
"Kenderaan mangsa masuk ke dalam laluan bertentangan dan pada masa sama sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux datang dari arah Kampar.
"Hilux itu kemudian melanggar bahagian sisi kiri kenderaan mangsa dan menyebabkan terbalik serta-merta.
"Mangsa kemudian tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita.
Kong Soon berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat sekitar jam 9 pagi Sabtu.
Jelas beliau, keadaan jalan sewaktu kejadian adalah lurus dan cuaca juga baik manakala kenderaan mangsa akan dibawa ke Puspakom bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
"Tiada tangkapan dilakukan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"ujarnya lagi.