Jurujual telefon bimbit cedera, ditembak dari jarak dekat

Astro Awani
Mei 26, 2018 16:55 MYT
Mangsa yang baru pulang bersarapan bersama rakannya di sebuah kedai makan di kawasan berdekatan.
Seorang jurujual telefon bimbit cedera ditembak ketika sedang memandu di Taman Sentosa Bukit Mertajam kira- kira jam 11.15 pagi tadi.
Ketua polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata lelaki berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk di bahu, lengan kanan dan peha kanan selepas ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali.
Suspek yang bertopeng dan menaiki kereta itu dipercayai melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun katanya mangsa sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar melalui pintu kiri kereta selepas ditembak.
Menurut Nik Ros Azhan, mangsa sebelum itu bersarapan bersama rakannya di sebuah kedai makan di kawasan berdekatan.
"Bila kita sampai terdapat kesan tembakan di sebelah pintu kanan kereta jenis honda. Siasatan awal 11 kelonsong peluru ditemui di kawasan tempat kejadian.
"Mangsa berada dalam keadaan stabil. Malah setakat ini motif belum diketahui," katanya.
Berdasarkan siasatan, Nik Ros Azhan berkata, suspek menaiki kereta berwarna putih dan bertopeng kemudian melarikan diri.
"Mangsa yang cedera kemudian dibantu oleh orang awam sebelum dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dan dilaporkan stabil," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
#Bukit Mertajam #Honda #Hospital #mangsa #Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid #polis #Seberang Perai #siasatan #suspek #Taman Sentosa #Telefon bimbit #tembakan
;