Jurujual rugi hampir RM1 juta ditipu pelaburan saham dalam talian

Aida Aziz
Jun 26, 2024 09:00 MYT
Mangsa telah memasukkan wang ke dalam dua akaun bank berlainan atas nama dua buah syarikat, keseluruhannya berjumlah RM904,000. - Gambar hiasan
IPOH: Seorang lelaki berusia 51 tahun berputih mata selepas rugi hampir RM1 juta akibat terpedaya dengan kes penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mangsa warga tempatan yang bekerja sebagai jurujual itu menyedari dirinya ditipu setelah tidak mendapat pulang seperti yang dijanjikan.
Katanya, pihak polis menerima laporan dari mangsa berhubung perkara itu pada Isnin.
"Siasatan mendapati, pada 15 April lalu, semasa mangsa berada di rumah, dia terlihat satu iklan pelaburan di laman sosial Facebook.
"Lalu dia menekan link dan terus berurusan secara WhatsApp dengan seorang wanita.
"Pada 1 dan 12 Mei lalu, dia telah memasukkan wang ke dalam dua akaun bank berlainan atas nama dua buah syarikat, keseluruhannya berjumlah RM904,000.
"Selepas itu, mangsa tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan dan syak telah ditipu," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Justeru katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mohd Yusri menegaskan, orang ramai perlu berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.
Khususnya yang menjanjikan keuntungan cepat dan terlalu lumayan.
Katanya lagi, semakan boleh dibuat di pelbagai platform disediakan seperti PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
#penipuan #pelaburan dalam talian #jurujual #Mohd Yusri Hassan Basri
;