Jurujual didakwa jadi orang tengah aktiviti pelacuran gadis 19 tahun
Sharom Abu Bakar
Februari 14, 2019 20:13 MYT
Februari 14, 2019 20:13 MYT
Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menjadi orang tengah untuk aktiviti pelacuran.
Tertuduh, 24 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Azman Mustapha.
Tertuduh didakwa bertindak sebagai orang tengah kepada seorang gadis berusia 19 tahun dengan cara menolong mencari pelanggan bagi aktiviti persundalan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah hotel di Kuala Terengganu kira-kira jam 11.20 malam, pada 29 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dengan sebatan dan didenda.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Syazwani Zawawi.
Sejurus pengakuan tidak bersalah itu direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
#aktiviti pelacuran
#aktiviti persundalan
#gadis 19 tahun
#hotel
#jurujual
#Kanun Keseksaan
#Kuala Terengganu
#Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu
#orang tengah