Jurufoto SPRM tunjuk gambar lokasi Rosmah terima wang RM1.5 juta
Bernama
Februari 5, 2020 05:36 MYT
Februari 5, 2020 05:36 MYT
Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar, pada Rabu, ditunjukkan dengan beberapa gambar lokasi laman rumah termasuk ruang tamu yang didakwa berlakunya penyerahan wang RM1.5 juta kepada isteri bekas perdana menteri itu.
Ketika diminta menerangkan gambar lokasi ruang tamu ketiga dalam rumah Rosmah di mana terletaknya sofa berwarna hijau, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Redzuan Othaman berkata gambar itu menunjukkan lokasi penyerahan wang berkenaan kepada Rosmah semasa kejadian.
"Terdapat juga gambar lokasi yang menunjukkan beg berisi wang diletakkan di tepi sofa sudut kanan dalam ruang tamu ketiga dan gambar ruang tamu kedua pula menunjukkan tempat pertemuan Saidi (Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin), seorang lelaki dikenali sebagai Rayyan bersama Datin Seri Rosmah," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn pada hari pertama perbicaraan kes itu, pada Rabu.
Mohd Redzuan, 27, yang bertugas sebagai jurufoto berkata Saidi, Rayyan dan seorang lelaki dikenali sebagai Shamsul telah dibawa secara berasingan dengan menaiki kereta bagi menunjukkan lokasi di mana berlakunya kejadian transaksi penyerahan wang.
Menjawab soalan Poh mengapa ketiga-tiga individu itu dibawa masuk ke dalam rumah Rosmah secara berasingan, saksi pendakwaan kedua itu berkata: "Tujuan pihak SPRM mengasingkan mereka untuk menunjukkan lokasi kejadian supaya tidak terpengaruh dengan lokasi kejadian yang ditunjukkan oleh orang lain."
Menceritakan lebih lanjut mengenai tugasannya, saksi itu berkata beliau telah mengambil 10 keping gambar termasuk laman rumah, ruang tamu dan pintu pagar selepas diarahkan oleh Penguasa Kanan SPRM Mohd Shukri Mohd Said untuk mengambil gambar tempat kejadian di rumah Rosmah yang terletak di Jalan Langgak Duta, di sini.
"Operasi mengambil gambar tempat kejadian telah dilaksanakan pada 2 Nov 2018 sekitar jam 11 pagi. Saya telah pergi ke tempat kejadian bersama beberapa pegawai SPRM lain antaranya Penolong Kanan Penguasa Mohd Ahyar Salleh Hudin dan Penguasa Rekhraj Singh Jaswant.
"Operasi mengambil gambar tempat kejadian selesai sekitar jam 1 petang. Pada hari yang sama, saya telah memindahkan gambar-gambar yang telah diambil oleh saya dari kad memori kamera tersebut ke dalam komputer saya.
"Kemudian, saya telah mencetak gambar-gambar tersebut dengan menggunakan mesin pencetak pejabat yang disambung ke komputer saya," katanya yang turut memaklumkan kesemua gambar yang dicetak itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat kes, Noornabilah Mohd Aziman.
Kepada soalan Poh, Mohd Redzuan berkata walaupun beliau tidak mengambil gambar nombor jalan dan nombor rumah isteri bekas perdana menteri itu, tidak mungkin pihak SPRM akan tersilap rumah.
"Yang pasti jika salah rumah, tuan rumah tidak akan bagi masuk... yang pasti rumah itu adalah rumah Datin Seri Rosmah," katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah mempertikai penerangan gambar oleh Mohd Redzuan kerana saksi itu hanya jurufoto dan individu yang bertanggungjawab untuk menerangkan konon wujudnya transaksi RM1.5 juta adalah pegawai penyiasat kes.
Akberdin: Kamu hanyalah jurufoto dan tidak mempunyai kuasa untuk menerangkan diskripsi pada gambar. Apa yang kamu ceritakan kepada mahkamah seolah-olah kamu mempunyai pengetahuan dan berada di tempat kejadian semasa transaksi penyerahan wang RM1.5 juta itu berlaku.
Mohd Redzuan: Saya tidak berada di tempat kejadian semasa transaksi berlaku. Saya diarahkan oleh pegawai penyiasat (Noornabilah) untuk menulis diskripsi pada gambar yang saya ambil. Diskripsi itu saya terima daripada pengawai penyiasat.
Sebelum itu, Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Pengurusan Perkhidmatan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Huzairi Zainal Abidin, 43, memberitahu mahkamah terdapat arahan untuk menamakan bahagian bagi menguruskan urusan penyelarasan program PM yang melibatkan isterinya sebagai Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) pada 2009.
“Tetapi saya tidak ingat siapakah yang telah memberikan arahan tersebut. Tiada sebarang dokumen yang boleh menunjukkan penubuhan FLOM kerana penubuhan bahagian ini hanya berdasarkan arahan lisan sahaja dan melibatkan kegunaan dalam pejabat PM sahaja,” kata saksi pendakwaan pertama itu.
Huzairi berkata penggunaan nama FLOM itu juga menjadi isu yang besar kerana ada pihak yang beranggapan gelaran FLOM adalah untuk Permaisuri Agong.
“Berikutan isu tersebut, nama Bahagian FLOM telah ditukarkan kepada Bahagian Khas pada bulan Ogos atau September tahun yang sama juga bagi mengelakkan salah faham tetapi fungsinya tetap sama,” katanya.
Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal.
Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung hari ini.
-- BERNAMA
#beg berisi wang
#FLOM
#isteri Perdana Menteri
#jurufoto
#Kementerian Pendidikan
#laman rumah
#lokasi transaksi
#luar bandar
#mahkamah
#penyerahan wang
#pintu pagar
#Rasuah
#Rosmah Mansor
#ruang tamu
#sekolah
#SPRM
#tenaga solar
#transaksi