Jurubahasa perlu beri layanan baik kepada peguam, orang awam - Hakim Besar Malaya
Bernama
September 17, 2022 06:00 MYT
September 17, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Jurubahasa mahkamah diminta memberi layanan baik kepada peguam dan orang awam dalam menjalankan tugas kerana mereka merupakan petugas barisan hadapan serta tulang belakang institusi kehakiman.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed berkata jurubahasa berperanan sebagai duta badan kehakiman kerana berurusan secara langsung dengan peguam dan orang ramai setiap hari yang ingin tahu mengenai status kes mereka.
"Jurubahasa merupakan 'front liner' (petugas barisan hadapan) dalam menguruskan badan kehakiman kerana kami, hakim-hakim tidak bertemu secara langsung dengan peguam serta orang ramai, maka mereka hendaklah menjaga nama baik badan kehakiman.
"Layanlah segala kerenah peguam dan orang awam dengan berhemah serta tidak meninggikan suara dan memberikan reaksi negatif semasa berurusan dengan mereka," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung dwi tahunan ke-17 Kesatuan Jurubahasa-Jurubahasa dan Penterjemah-Penterjemah Kementerian Kehakiman Malaysia Barat di sini pada Sabtu.
Menurut Azahar penterjemahan merupakan tugas hakiki yang perlu dilaksanakan setiap jurubahasa selain banyak membantu dalam penyediaan laporan prosiding mahkamah serta statistik yang berkaitan sehingga ada masanya mengorbankan masa sendiri.
Beliau berkata tiada seorang pun majistret atau hakim yang mampu menjalankan perbicaraan tanpa kehadiran jurubahasa.
"Saya juga selaku Hakim Besar Malaya, setiap hari menerima laporan dan statistik daripada jurubahasa untuk saya melihat prestasi setiap mahkamah, majistret, hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi bagi perancangan masa hadapan.
"Ada jurubahasa yang pulang lewat dari mahkamah dan ada yang datang ke pejabat semasa hari cuti untuk menyelesaikan segala urusan pentadbiran. Namun, janganlah bebanan ini dijadikan sebab untuk anda semua patah semangat," katanya sambil berterima kasih kepada setiap jurubahasa atas segala pengorbanan mereka.
Azahar turut mencadangkan setiap jurubahasa meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat untuk memastikan urusan pengendalian prosiding secara dalam talian bagi kes-kes mahkamah berjalan dengan teratur.
Beliau berkata peningkatan ilmu dalam bidang teknologi maklumat adalah penting selaras dengan dunia digital kerana badan kehakiman telah menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh secara meluas membabitkan prosiding secara dalam talian di seluruh negara.
"Oleh itu, setiap jurubahasa memainkan peranan penting untuk memastikan prosiding secara dalam talian dapat dikendalikan dengan lancar dan teratur," katanya.
-- BERNAMA