Jurang pelajar STPM bandar, luar bandar dapat dikurangkan - Muhyiddin

Bernama
Mac 2, 2015 21:44 MYT
MUHYIDDIN: Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. - Gambar BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 menunjukkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar telah dapat dikurangkan.
Bangga dengan prestasi peperiksaan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata pencapaian itu menjadi petunjuk peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan kementerian berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.
"Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Jadi, pencapaian keputusan STPM ini menjadi petunjuk kepada usaha kementerian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, peningkatan itu dilihat bukan sahaja dari segi gred peratusan pelajar yang lulus penuh, tetapi juga Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara yang meningkat daripada 2.57 pada 2013 kepada 2.62 pada STPM 2014.
"Tahniah saya ucapkan kepada 41,915 orang pelajar yang lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2014, terutamanya kepada 408 pelajar yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran," katanya.
Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan sekalung tahniah kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak masing-masing.
"Sesungguhnya dorongan anggota keluarga amat perlu bagi melonjakkan pencapaian pelajar. Kejayaan ini sebenarnya amat rapat dengan sikap guru dan keluarga.
"Dalam erti kata lain, kecemerlangan yang dicatatkan pelajar ini sebahagiannya adalah hasil titik peluh dan usaha gigih keluarga dan guru-guru," katanya.
Muhyiddin berkata pencapaian STPM 2014 juga menunjukkan usaha Kementerian Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, terutama dalam mentransformasi dan memperkasa pendidikan tingkatan enam secara langsung telah meningkatkan prestasi guru dan pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan.
Tambahnya, perubahan dalam sistem pentaksiran STPM turut memainkan peranan sebagai pemangkin kepada keupayaan warga sekolah meningkatkan prestasi sekolah masing-masing sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pelajar.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa anugerah yang diberi kepada pelajar dan sekolah yang cemerlang merupakan insentif atas usaha mereka dan sebagai galakan serta dorongan kepada yang lain untuk berusaha mencapai kejayaan.
"Kepada yang kurang berjaya, saya mengingatkan mereka agar tidak berputus asa. Saya percaya jika kita terus berusaha dan memperbaiki diri kita, Insya-Allah, kita juga akan berjaya," kata Muhyiddin.
#Kementerian Pendidikan #Muhyiddin Yassin #Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia #Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
;